fbpx

Mardi sangkal organ haiwan tingkat kolestrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Azman ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Antarabangsa Pemakanan Haiwan Ternakan, hari ini.

KAJANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menegaskan pengambilan lemak serta organ haiwan tidak berpotensi menyebabkan kenaikan kolesterol seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya adalah baik untuk tubuh badan manusia.

Lembaga Pengerusi Pengelola MARDI, Dr. Azman Ismail berkata, stigma masyarakat terhadap kolesterol semula jadi daripada haiwan perlu diubah dan difahami secara teliti serta jelas.

“Ia (emak dan organ haiwan menyebabkan kolesterol naik) adalah mitos dan tidak benar. Konsep kolesterol tidak difahami secara jelas oleh sebahagian besar masyarakat bahkan segelintir doktor kerana kolesterol ada yang baik dan ada kolesterol jahat.

“Lipoprotein ketumpatan rendah atau Low Density Lipoprotein (LDL) sebenarnya yang bahaya manakala lipoprotein ketumpatan tinggi atau High Density Lipoprotein (HDL) adalah kolesterol baik untuk kesihatan.

“Kolesterol yang datang daripada haiwan adalah semula jadi yang mana ia sihat dan kita perlukan. Manusia telah memakan produk haiwan daging, telur dan organ sejak dari dahulu lagi dan ia adalah sihat dan tiada masalah. Masalah berpunca apabila kita mengambil terlampau banyak gula serta karbohidrat bertapis yang menghasilkan lemak kecil yang mampu menyumbat saluran darah,”katanya.

Beliau yang juga doktor perubatan nutrisi berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Majlis Antarabangsa Pemakanan Haiwan Ternakan (ICAN 2023) di Bangi Resort Hotel, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau dalam ucapan perasmian majlis berkenaan berkata, makanan ternakan memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemampanan industri ternakan global bagi memenuhi permintaan bekalan daging, susu dan telur.

“Kecekapan makanan perlu dipertingkatkan, strategi dari segi pemakanan serta nutrisi ternakan boleh digunakan untuk mencapai matlamat ini termasuklah dengan menggunakan bahan makanan yang sangat mudah dihadam dan berkualiti tinggi seperti kacang soya dan tepung ikan untuk sumber protein dan jagung untuk sumber tenaga,” ujarnya.

Menyedari kepentingan protein sumber haiwan, justeru katanya, pengeluaran ternakan perlu dilakukan secara mampan dan cekap susulan pelbagai cabaran seperti peningkatan populasi global, kekurangan tanah dan sumber, pencemaran, kehilangan biodiversiti serta perubahan iklim.

“Pemakanan haiwan yang baik dan mencukupi sangat penting untuk meningkatkan produktiviti ternakan. Kelestarian diet haiwan juga sangat penting dalam pembangunan pengeluaran ternakan di seluruh sistem pengeluaran,” jelasnya.

Dalam majlis sama, Mardi turut menyampaikan surat pelantikan kepada lapan ladang penternak yang sudah menghasilkan anak ayam Saga bagi Agrofarm Sahabat Gadek, Jasa Jaya Agrofarm, Persada Niaga Maju Enterprise, Mount Valley Agritech, Ladang Rakyat Terengganu, Dana Stesen Mardi Muadzam Shah, EM Hornbill dan DVS Bantayan Breeder. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI