GENTING HIGHLANDS – Kementerian Pendidikan (KPM) bakal memfokuskan pada pembangunan, penambahbaikan, penyelenggaraan serta dasar-dasar yang bakal memberi impak terbesar terhadap pendidikan negara dalam Bajet 2024 kali ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan yang diterima merupakan satu tanggungjawab besar buat KPM bagi menyelesaikan serta memberi tumpuan pada dasar-dasar yang memberikan impak pada pendidikan negara.
“Berkaitan dengan Kokurikulum 2027, kita akan bercakap tentang satu perubahan besar dalam pendidikan pasca pelan pendidikan kita yang berkait rapat dengan pendidikan karekter,” ulasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Mailis Perasmian 3rd International Conference on Educational Leadership and Management 2023 di Auditorium Dato’ Razali Ismail, Institut Aminuddin Baki, Cawangan Genting Highlands, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus diberikan keutamaan pada Bajet 2024 oleh kerajaan.
Dalam perkembangan lain, mengulas lanjut mengenai permintaan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dalam memberi kuasa autonomi kepada negeri itu dalam isu berkaitan pendidikan, Fadhlina berkata, terdapat satu jawatankuasa khas yang membincangkan tentang isu isu pendidikan untuk Sabah dan Sarawak.
“Buat masa ini, jawatankuasa tersebut masih lagi dalam perbincangan untuk melihat isu-isu yang berkait rapat dengan autonomi tersebut.
“Saya sangat gembira untuk maklumkan bahawa jawatankuasa ini sangat efektif dan sentiasa ada perkembangan-perkembangan.
“Perkembangan tersebut bakal diumumkan kemudian selepas sahaja mereka memutuskan serta memuktamadkan isu-isu pendidikan khususnya yang berkait rapat dengan autonomi serta pendidikan di Sabah dan Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE