KUALA KANGSAR – Pengagihan al-Quran yang diterjemahkan kepada bahasa yang boleh dibaca oleh masyarakat bukan Islam di negara ini merupakan antara pendekatan terbaik untuk mereka memahami agama tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata pendekatan itu antara lain boleh membuatkan orang bukan Islam lebih memahami Islam berdasarkan al-Quran yang merupakan rujukan utama.
Beliau melihat kaedah tersebut sebagai antara satu daripada langkah mengatasi Islamofobia seperti mana yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Dalam konteks itulah saya rasa, bagi menggalakan lagi dan supaya orang bukan Islam boleh memahami tentang Islam itu sendiri dan al-Quran itu menjadi rujukan.
“Kita boleh agihkan al-Quran ini, berbanding kita agih di luar negara, kita juga boleh buat agihan itu dalam kalangan orang-orang bukan Islam dalam negara ini.
“Semoga dengan bacaan mereka ini terhadap al-Quran, mereka akan lebih memahami Islam itu sendiri sebagai satu agama yang penuh rahmah, penuh harmoni dan kasih sayang kepada manusia sejagat,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.
Jelasnya lagi, dalam konteks di Malaysia ada dibuat terjemahan al-Quran kepada bahasa Mandarin serta bahasa Inggeris.
“Jadi kita boleh agihkan al-Quran terjemahan ini kepada orang bukan Islam dalam negara. Hasratnya itulah untuk kita memahami. Kita minta buat rujukan kepada itu. Kita hendak bina masyarakat madani yang harmoni di mana orang bukan Islam memahami tentang Islam melalui kaca mata al-Quran,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata beliau semalam telah mengadakan pertemuan selama dua jam bersama Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee yang terpalit dengan kontroversi membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
Katanya, pertemuan itu diadakan penuh harmoni serta melihat Lee sebagai seseorang yang terbuka menerima pandangan dan nasihat. – KOSMO! ONLINE