BALING – Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun ditemui mati dengan leher dijerut serta kaki dan tangan diikat di sebuah rumah di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan tentang penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan mendapati tempat kejadian adalah sebuah rumah teres setingkat dan berpagar serta tidak mempunyai kesan pecah masuk.
“Mangsa ditemui di atas katil bilik utama yang mana tiada televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan rakaman CCTV di rumah jiran mendapati terdapat dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna gelap dipercayai suspek telah keluar dari rumah tersebut.
“Barang yang hilang di tempat kejadian adalah seutas rantai emas, sebentuk cincin yang dipakai selain dompet milik mangsa didapati sudah tiada,” ujarnya.
Menurutnya, hasil siasatan awal punca kejadian disyaki bermotifkan samun.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” jelasnya.
Katanya, mangsa tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian isteri, lapan tahun lalu.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat dan dapat membantu siasatan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di talian 04-4708222 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Tan See Yean di talian 019-6687687 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE