PETALING JAYA – Tindakan seorang penghantar makanan yang bertindak menghalau sekumpulan lelaki daripada terus duduk koc khusus wanita bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) menerima pujian ramai.
Menerusi satu hantaran tular, penghantar tersebut dilihat menegur semua penumpang lelaki termasuk warga asing yang tidak peka dan bersahaja duduk tren khas untuk beralih ke koc yang lain bagi menghormati dan menjaga keselamatan pengguna wanita.
Selain itu, dia juga dilihat memberi penjelasan kepada beberapa orang warga asing di dalam bahasa Inggeris kerana mereka seakan-akan keliru dan tidak memahami keadaan yang berlaku ketika itu.
Susulan itu, ramai pengguna media sosial yang memuji tindakan murni penghantar makanan itu yang dilihat peka dengan keselamatan kaum wanita selain menegur dengan keadaan baik.
“Tahniah abang Foodpanda, ambil cakna. Yang lain cuma memerhati sahaja. Dah jadi baru lah ada yang nak jadi hero,” kata Ude.
“Sememangnya beginilah sikap yang perlu dicontohi. Jangan hanya pandang sahaja. Ada tempat yang memang khusus untuk wanita. Jadi sebagai penumpang perlu bersama-sama bertanggungjawab,” tulis seorang pengguna.
Terdahulu, media melaporkan bahawa koc khusus wanita bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang telah dilaksanakan bermula September 2023 oleh Kementerian Pengangkutan.
Ianya dilancarkan bagi mewujudkan keselesaan kepada penumpang wanita yang menggunakan pengangkutan awam tersebut selain menjamin keselamatan mereka. – KOSMO! ONLINE.