WASHINGTON – Mengubati penyakit kanser tidak lama lagi akan menjadi lebih mudah dengan menggunakan telefon bimbit, demikian menurut pasukan saintis Universiti Rice di bandar Houston, Texas, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Pusat pengajian tinggi itu menerima pembiayaan berjumlah AS$45 juta (RM211.29 juta) untuk melaksanakan sistem rawatan baharu berasaskan implan yang dikatakan boleh mengurangkan kadar kematian akibat kanser sebanyak 50 peratus.
Dana diberikan oleh Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Kesihatan itu akan digunakan untuk membangunkan teknologi ‘cari dan bertindak’ dengan matlamat meningkatkan hasil rawatan imunoterapi untuk jenis kanser yang sukar dirawat.
“Daripada membiarkan pesakit terbaring di hospital bersama beg intravena dan monitor luaran, kami akan menggunakan prosedur invasif minimum untuk menanam peranti kecil yang sentiasa memantau kanser mereka dan dalam masa yang sama, melaraskan dos imunoterapi pada masa sebenar,” kata jurutera
biologi Universiti Rice dan penyelidik kanan kajian, Omid Veiseh.
“Menyerupai rawatan diabetes yang menggunakan pam insulin, implan bersaiz 7.62 sentimeter dinamakan pengawal selia pengeluaran molekul termaju hibrid (HAMMR) itu akan menghantar ubat imunoterapi kepada pesakit dalam sistem ‘gelung tertutup’,” kata pasukan penyelidik itu kepada stesen televisyen Texas, KHOU 11.
Peranti boleh cas itu membenarkan komunikasi wayarles dan boleh dikawal dengan menggunakan telefon pintar.
Penyelidik-penyelidik berharap implan HAMMR hanya diperlukan untuk kegunaan jangka pendek bagi membasmi kanser dalam masa cuma 60 hari
“Sel kanser terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan terapi.
“Namun, alat diagnostik yang tersedia pada masa ini, termasuk ujian radiologi, ujian darah dan biopsi memberikan gambaran terhad tentang proses dinamik penyakit kanser.
“Justeru, rawatan pada masa ini memperlakukan kanser seperti ia penyakit statik,” kata penyelidik utama dan pakar onkologi ginekologi Pusat Kanser MD Anderson, Universiti Texas, Profesor Dr. Amir Jazaeri dalam satu kenyataan.
Teknologi HAMMR sebaliknya berfungsi sebagai sistem pemantauan kanser dan pentadbiran ubat yang menyediakan data masa sebenar daripada persekitaran tumor untuk mempercepatkan proses rawatan.
“Teknologi ini digunakan secara meluas untuk kanser peritoneal yang menjejaskan pankreas, hati, paru-paru dan organ lain,” kata Veiseh.
Pasukan penyelidik itu terdiri daripada pakar-pakar pelbagai bidang perubatan merangkumi 20 makmal di tujuh negeri di Amerika Syarikat di bawah projek diberi nama THOR.
Percubaan klinikal pertama akan menyiasat keberkesanan implan HAMMR untuk merawat kanser ovari yang berulang, manakala pakar-pakar perubatan berhasrat untuk memulakan ujian terhadap manusia dalam tempoh lima tahun.
Pada tahun lepas, pasukan penyelidik Veiseh telah membuktikan keberkesanan teknologi tersebut pada tikus dengan implan berbentuk manik yang digunakan dapat membasmi kanser ovari dan kolorektal peringkat akhir dalam masa enam hari. – AGENSI