PENYANYI Taylor Swift dianggap sebagai penyelamat industri hiburan Hollywood yang dilihat sedikit suram selepas melalui fasa pandemik Covid-19.
Ketika seluruh dunia dilanda wabak maut tersebut, banyak sektor tergendala, termasuk industri seni apabila penggambaran filem tidak dapat dijalankan, selain banyak pawagam ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi.
Selepas keadaan reda, pengusaha panggung wayang berdepan dengan masalah apabila kehabisan filem baharu untuk ditayangkan sebelum pengurus besar Sony Pictures Entertainment,
Tony Vinciquerra melahirkan idea untuk menghasilkan sebuah dokumentari tentang perjalanan konsert Swift sepanjang 2023.
Dengan judul The Eras Tour, ternyata filem tersebut kembali menghangatkan pawagam apabila penjualan tiket awal yang dibuat berjaya mencatatkan kutipan sebanyak AS$37 juta (RM173 juta) hanya dalam masa sehari.
Bukan itu sahaja, pihak pengusaha pawagam turut mengambil kesempatan dengan menawarkan pakej sewaan seluruh panggung wayang untuk peminat penyanyi itu dengan kadar bayaran AS$800 (RM3,761) dengan kapasiti 40 orang penonton.
“The Eras Tour adalah penyelamat besar untuk para pengusaha panggung wayang. Mereka adalah teman kami,” ujar Vinciquerra.
Filem The Eras Tour merupakan dokumentari yang dihasilkan daripada konsert Swift dengan judul serupa, sewaktu penyanyi itu mengadakan jelajah sepanjang 2023.