fbpx

Siasatan rusuhan di DIBW 2023 tidak dihenti, sedang dikemaskini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN (dua kanan) beramah mesra dengan orang awam yang menerima anugerah penghargaan Ketua Polis Johor pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Johor, hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor tidak menghentikan siasatan berhubung insiden rusuhan antara kumpulan peserta tempatan dan antarabangsa pada program Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat sebaliknya berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan dengan kertas siasatan sedang dikemaskini.

Menurut beliau, langkah seterusnya adalah dengan menyerahkan siasatan lengkap kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan kes itu tidak ditutup, mana ada tutup. Mereka buat salah kita akan siasat dan jika ada bukti, kita akan ambil tindakan dan tuduh di mahkamah. Walaubagaimanapun kertas siasatan akan dibawa ke pihak pendakwaraya dahulu.

“Buat masa ini cukup tangkapan sedia ada, kita akan lihat kalau perlu ada tangkapan lain kita akan tangkap. Tetapi buat waktu ini tiada tangkapan baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar.

Minggu lalu, Kamarul Zaman memaklumkan pihaknya telah merakam kenyataan penganjur program DIBW 2023 manakala empat warga tempatan ditahan telah dikenakan reman selama tiga hari bermula 25 September lalu.

“Mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Minggu lalu, tular beberapa rakaman video termasuk yang berdurasi seminit 16 saat memaparkan sekumpulan individu merusuh termasuk dengan membaling objek seperti kerusi di antara peserta.

Selain itu, turut tular video berdurasi 4 minit 25 saat memaparkan kejadian pada sebelah petang membabitkan pergaduhan mulut sebelum beberapa anggota polis dilihat berjaya mengawal pergaduhan mulut yang berlaku.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku akibat provokasi dan cabar-mencabar antara kedua-dua pihak iaitu kumpulan penunggang motosikal warga tempatan dan kumpulan penunggang motosikal dari Amerika Syarikat.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI