KAMPAR – Kerajaan negeri Perak sudah mengenal pasti lokasi bagi pembinaan Hospital Kampar yang baharu untuk menggantikan hospital sedia ada yang tidak mampu menampung pertambahan pesakit.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, keluasan tanah tapak projek itu adalah seluas 28.94 ekar di mana agak kecil berbanding lokasi sebelum ini.
Beliau berkata, sebelum ini, ada sebidang tanah lagi yang dikenal pasti oleh kerajaan lama sebelum 2018 namun didapati tanah itu tidak sesuai.
“Tanah ini keluasannya adalah 11.7 hektar. Walaupun keluasan tanah sebelum tapak lokasi ini dua kali ganda tetapi hampir lebih daripada separuh kawasan tersebut adalah lombong.
“Jadi untuk membuat ‘soil investigation’ dan pemulihan semula tanah akan memakan belanja yang amat tinggi. Tanah ini adalah tanah virgin di mana tak perlu buat apa-apa. Kita boleh terus membina hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pembinaan Hospital Kampar yang baharu mungkin akan siap dalam masa lima tahun akan datang.
Katanya, lokasi baru bagi pembinaan hospital tersebut terletak berhampiran kawasan Malim Nawar, Kampar dan Gopeng.
“Lokasi ini terletak di tengah ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Malim Nawar, Keranji dan Tualang Sekah termasuk Parlimen Gopeng.
“Lokasi ini adalah tidak jauh dari Gopeng di mana tidak ada hospital langsung di kawasan mereka. Kebiasaannya, penduduk harus pergi ke Kampar atau Ipoh. Kalau ada hospital di sini, mereka boleh datang. Penduduk di Batu Gajah pun boleh datang sini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, peruntukan pembinaan hospital itu telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Bajet 2020 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan berlaku pertukaran kerajaan.
Terdahulu, media melaporkan, tapak yang dicadangkan untuk pembinaan hospital baharu di daerah ini adalah di satu kawasan bekas lombong seluas 40 hektar namun kerana komposisinya 60 peratus air dan 40 peratus tanah menyebabkan ia telah dibatalkan.
Ini kerana, kerajaan mengambil kira keperluan peruntukan yang tinggi untuk kos rawatan tanah. – KOSMO! ONLINE.