fbpx

Kerajaan laksana empat langkah tangani isu beras – Mohamad Sabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Sabu ketika hadir ke Sidang Media Khas cadangan intervensi baharu KPKM berkaitan isu beras dalam negara yang diadakan di Pusat Media, Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur pada petang ini. KOSMO!/SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bakal melaksanakan empat langkah intervensi bagi menangani isu kenaikan harga beras putih import dan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Mo­hamad Sabu berkata, langkah intervensi yang bakal dilaksanakan bukan sahaja melibatkan elemen penguatkuasaan semata-mata namun merangkumi pelbagai sesi libat urus bagi memastikan input daripada semua pihak berkepentingan diambil kira.

Tambahnya, intervensi tersebut diharapkan dapat meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga beras import dan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan di pasaran.

“Melalui intervensi tersebut, kami akan memastikan pemerkasaan edaran beras putih tempatan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diperluaskan dengan meningkatkan pengedaran di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

“Dalam konteks Sabah dan Sarawak, kerajaan memutuskan agar harga beras putih import diserap oleh kerajaan mulai 5 Oktober ini bagi membolehkan ia diperoleh dengan harga runcit iaitu pada RM31 bagi setiap 10 kilogram,” katanya pada sidang akhbar khas  KPKM di Hotel Grand Hyatt, hari ini.

Tambahnya, kerajaan memutuskan supaya perolehan baharu beras di bawah kontrak kerajaan menggunakan beras import yang dibekalkan pada harga borong RM3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50 kilogram tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan melaksanakan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang melibatkan Kawalselia Padi dan Beras
(KPB), Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan
Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“OP BPT ini akan memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan di kesemua peringkat rantaian pembekalan beras putih tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI