PETALING JAYA – Walaupun berlainan agama, faktor itu tidak menjadi halangan buat pasangan suami isteri berbangsa Cina melawat kubur anak mereka.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Joy Mama Nuai berkata, dia menemui pasangan tersebut ketika berada di sebuah tanah perkuburan Islam.
“Kisahnya pagi tadi sewaktu kami menziarahi kubur mak ayah kami. Terjumpa sepasang suami isteri berbangsa Cina menziarahi salah satu kubur di sana.
“Dicuci segala kekotoran yang ada pada batu nisan dengan air yang mereka bawa. Selepas itu pasangan tersebut dilihat seperti bertafakur,” tulisnya.
Difahamkan, anak mereka meninggal dunia sejak empat tahun lalu kerana penyakit kanser otak.
“Anak lelakinya memeluk Islam selepas berkahwin dengan wanita Melayu pilihannya. Demi kasih ayah dan ibu kepada anak walaupun bertukar agama namun kasih mereka tiada berpenghujung. Satu pengajaran buat kami hari ini,” katanya.
Lantaran itu, beberapa pengguna media sosial bersimpati dan tersentuh dengan kasih sayang yang ditunjukkan pasangan itu.
“Semoga Allah memberikan hidayah buat kedua mereka. Insya-Allah dapat bertemu kembali di syurga dengan anaknya,” kata Norasikin Jainai.
“Dia ibu ayah sampai akhir hayat. Bertuah ya anak-anak yang pergi dulu sebelum ibu bapa termasuklah arwah anak. Walaupun pedih, alhamdulillah hati tenang bila ramai yang kata bertuah arwah,” kata Arieza Zaharos. – KOSMO! ONLINE