KUALA LUMPUR – Impian skuad hoki lelaki negara untuk meraih pingat emas Sukan Asia Hangzhou sekali gus layak automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 berkecai selepas gagal melangkah ke peringkat separuh akhir.
Ia gara-gara Speedy Tigers gagal menewaskan China apabila seri 4-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Gongsu Canal Sports Park sebentar tadi menyaksikan skuad negara sekadar menghuni tangga ketiga.
Sebaliknya, China sememangnya mengharapkan keputusan itu untuk mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B bersama naib juara, Korea Selatan.
Pada aksi sebentar tadi, skuad negara, No.10 dunia, terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal China Gao Jiesheng pada minit ke-13 sebelum Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan berselang lima minit kemudian.
Chen Qijun meletakkan China di hadapan pada minit ke-20 tetapi Malaysia berjaya mendahului 3-2 hasil jaringan Ashran Hamsani dan Amirul Amizan Azahar pada minit ke-25 serta 35.
Walaupun menghuni ranking ke-22 dunia tetapi China tidak mudah menyerah kalah apabila sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan selepas Pan Dongquan menyudahkan penalti stroke pada minit ke-36.
Skuad bimbingan A. Arul Selvaraj kembali menghidupkan peluang apabila meledak gol keempat menerusi Faiz Helmi Jali pada minit ke-40 tetapi ia tidak bertahan lama apabila China menyamakan kedudukan 4-4 melalui Zhu Weijiang tiga minit kemudian.
Speedy Tigers terpaksa menelan hakikat perit bermain dalam penentuan tempat kelima dan enam menentang Pakistan pada Jumaat ini.
Kali terakhir skuad hoki lelaki negara gagal memenangi pingat di Sukan Asia pada edisi 2006 di Doha, Qatat yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat keenam.
Biarpun gagal ke Olimpik Paris 2024 sebagai juara Asia tetapi peluang masih belum tertutup buat Speedy Tigers yang perlu mengharungi kelayakan terakhir yang akan diadakan di Oman dari 15 hingga 21 Januari tahun depan. – KOSMO! ONLINE