fbpx

Elak aktiviti luar ketika jerebu – KP Kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai elak daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan sebagai langkah pencegahan ekoran situasi jerebu melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, aktiviti fizikal akan meningkatkan kadar pernafasan menyebabkan lebih banyak partikulat terampai memasuki saluran pernafasan sekali gus meningkatkan risiko penyakit akibat pencemaran udara itu.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan sentiasa berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, hadkan masa dan gunakan pelitup muka yang sesuai.

“Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

“Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Radzi berkata, antara langkah lain boleh diambil terutama mereka berada di kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat dengan menggunakan pendingin hawa serta memilih operasi kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.

Beliau juga minta agar orang ramai banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.

“Tambah baik pengudaraan dalam seperti dengan memasang alat pendingin hawa dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

“Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat dan orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan ini di laman web KKM (https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu),” ujarnya.

Orang ramai juga digesa supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.

Katanya, KKM akan terus memantau penyakit berkaitan jerebu di klinik sentinel dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI