BAGHDAD – Kebakaran yang mengorbankan 113 orang dalam satu majlis perkahwinan di utara Iraq berpunca daripada kecuaian serius dan kelemahan langkah-langkah keselamatan, demikian menurut hasil siasatan kerajaan seperti laporan portal berita Middle East Eye semalam.
“Kebakaran tidak disengajakan itu berlaku kerana kecuaian yang serius,” lapor penemuan siasatan tersebut.
Keputusan siasatan itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Abdul Amir al-Shammari dalam satu sidang akhbar semalam.
“Menggunakan perhiasan mudah terbakar membantu api merebak yang mengubah dewan majlis menjadi bebola api,”kata Shammari.
Tambahnya, api memerangkap tetamu di dalam dewan dan pasukan penyelamat sukar menyelamatkan mereka kerana hanya terdapat beberapa pintu kecil.
Sekurang-kurangnya 150 orang turut cedera akibat melecur, terhidu asap dan akibat dipijak ketika cuba melarikan diri.
Kebakaran berlaku di sebuah dewan yang menampung sebilangan besar tetamu majlis perkahwinan pada Selasa minggu lalu di bandar Hamdaniya, juga dikenali sebagai Qaraqosh, dalam wilayah Ninevah, utara Iraq.
Awal minggu ini, pihak berkuasa berkata, bunga api yang dinyalakan di dalam dewan tersebut membakar hiasan perkahwinan pada siling. Siling tersebut pula dibina daripada bahan yang sangat mudah terbakar.
Dewan itu boleh menampung 400 individu tetapi pemilik dan tiga kakitangannya membenarkan kehadiran seramai 900 orang, demikian menurut laporan siasatan tersebut.
Siasatan sama turut mengesyorkan tindakan undang-undang diambil terhadap beberapa pegawai tempatan.
Sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk pemilik dewan, 10 pekerja dan tiga orang yang disyaki membakar bunga api telah ditahan pihak berkuasa. – AGENSI