fbpx

Bau hamis, tiada beruk petanda ada harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang anggota Perhilitan melihat harimau kumbang yang berjaya ditangkap di Kampung Beting Ulu, Kuala Pilah kelmarin.

KUALA PILAH – “Entah berapa banyak lagi harimau yang ada kami pun tak tahu. Kami makin resah kerana dalam tempoh 12 hari sudah tiga ekor masuk pe­rangkap.”

Kebimbangan itu diluahkan oleh penduduk Kampung Be­ting Ulu di sini mengenai keha­diran harimau kumbang mencari makanan di kawasan kediaman mereka kebelakangan ini.

Bertambah resah apabila ke­semua haiwan buas itu masuk di perangkap di lokasi sama yang dipasang pihak Perhilitan.

Terbaharu, seekor harimau kumbang berjaya ditangkap pada pukul 8 malam kelmarin dengan umpan tiga ekor anak anjing.

Seorang penduduk, Rusmazaiti Kamarulzaman, 31, berkata, dua lagi harimau kumbang ditangkap pada 18 dan 27 September lalu menggunakan umpan yang sama. Perangkap itu dipasang pada 5 September.

Mengimbau semula kejadian itu, Rusmazaiti berkata, dia terkejut apabila mendengar bunyi ngauman kuat ketika sedang berbual di telefon pada pukul 8 malam.

“Saya dan suami terus me­nyuluh keluar dan terkejut apabila mendapati ada kelibat se­ekor harimau kumbang di dalam perangkap.

“Perangkap itu dipasang semula kerana selepas tangkapan kedua pada 27 September lalu, kami ternampak seekor lagi ­harimau kumbang tidak jauh dari rumah ketika hendak keluar makan malam,” katanya ketika ditemui.

Menurut Rusmazaiti, keadaan itu membuatkan dia sekeluarga semakin peka dengan petanda kehadiran harimau kumbang iaitu ada bau hamis, keberadaan burung helang dan ketiadaan beruk atau kera.

Tambahnya, keadaan itu mengakibatkan perniagaan nasi lemak dan madu kelulut mereka sekeluarga terjejas sejak lebih seminggu lalu, manakala anak­nya tidak dapat bermain di luar.

“Nasi lemak dan madu tak dapat dihantar pada waktu malam dan 5.30 pagi kerana risau di­serang kerana ketika itu masih gelap. Harimau juga tak takut dengan mercun,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Md. Nor Ahmad, 68, berkata, dia turut terserempak dengan harimau kumbang berlari di pekarangan rumahnya pada pukul 8 malam Isnin lalu.

“Masa tu saya rasa pelik bila kucing peliharaan saya langsung tak berbunyi, senyap sahaja. Saya buka pintu dan terkejut apabila ternampak harimau kumbang berlari.

“Sampai bila saya nak hidup dalam keadaan bimbang seperti ini,” soalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI