DHAKA – Lebih 1,000 orang meninggal dunia akibat demam denggi di Bangladesh sejak awal tahun ini, demikian menurut angka rasmi sekali gus wabak denggi paling buruk di negara berkenaan.
Angka daripada Direktorat Besar Perkhidmatan Kesihatan itu diterbitkan semalam. Ia mengesahkan lebih 200,000 kes demam denggi di negara itu bersama 1,006 kematian.
Bekas pengarahnya, Be-Nazir memberitahu AFP bahawa bilangan kematian setakat ini adalah jauh lebih tinggi berbanding kombinasi kematian akibat denggi pada tahun-tahun sebelumnya bermula dari 2000 apabila Bangladesh merekodkan wabak demam denggi yang pertama.
“Ini adalah peristiwa kesihatan yang besar di Bangladesh, juga di dunia,” tambahnya.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pada bulan lalu bahawa wabak demam denggi memberi tekanan besar ke atas sistem penjagaan kesihatan Bangladesh.
Demam denggi menyebabkan demam panas, sakit kepala, mual, muntah, sakit otot dan dalam kes serius, pendarahan dalaman yang membawa kepada kematian.
WHO memberi amaran pada bulan lalu bahawa denggi dan penyakit bawaan nyamuk lain seperti chikungunya, demam kuning dan Zika menular lebih pantas disebabkan perubahan iklim. – AFP