KEJAYAAN Muhammad Azeem Mohd. Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou membuktikan perkembangan positif arena olahraga negara yang kini sudah tidak ketinggalan jauh dengan tahap Asia.
Azeem, 19, mencipta sensasi meraih gangsa 100 meter (m) dengan catatan 10.11 saat (s) pada final kelmarin, sekali gus menamatkan kemarau 41 tahun negara sejak Datuk Rabuan Pit menjuarai edisi 1982 di New Delhi, India.
Shereen, 25, juga dalam kelas tersendiri dan mengotakan janjinya meraih pingat apabila memenangi tempat ketiga final 400m wanita di Stadium Olimpik Hangzhou selepas merakam masa 52.58s.
Ia secara tidak langsung menamatkan penantian 45 tahun kembali melihat atlet negara menaiki podium acara 400m di pentas Sukan Asia selepas Saik Oik Cum meraih emas sewaktu edisi 1978 di Bangkok, Thailand.
Kini, masa depan cerah menanti dua bintang muda negara itu yang tidak mustahil mampu melayakkan diri secara merit ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis bermula Julai tahun depan.