fbpx

Wanita terjun kereta salah faham, pemandu e-hailing rupanya pekak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Akibat salah faham, seorang penumpang wanita terjun dari sebuah kereta e-hailing di Jalan Temasya Glenmarie, di sini baru-baru ini selepas curiga dengan pemandunya yang sering memandangnya melalui cermin pandang belakang.

Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati, pemandu e-hailing tersebut sebenarnya merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat pendengaran yang tidak boleh berkomunikasi dengan wanita tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan, mangsa berusia 31 tahun yang juga pekerja sebuah syarikat katering telah membuat tempahan aplikasi e-hailing kira-kira pukul 9.30 pagi pada Rabu lalu.

Katanya, tempahan kenderaan itu adalah untuk mengambilnya di Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie ke tempat kerjanya di Denai Alam.

“Mangsa yang berada di tempat penumpang belakang telah bertanya kepada pemandu lelaki berusia 26 tahun untuk membuat pembayaran secara tunai tetapi tidak dijawab pemandu itu.

“Wanita berkenaan juga mendapati pemandu itu sering kali melihatnya melalui cermin pandang belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas beliau, mangsa yang bimbang keselamatannya telah bertindak turun semasa kenderaan e-hailing jenis Perodua Axia itu bergerak perlahan.

Wanita itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan susulan perbuatannya itu.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu merupakan pemandu e-hailing yang sah dan seorang OKU cacat pendengaran serta baru mula bekerja sehari sebelum kejadian.

“Wanita itu merupakan pelanggan ketiganya pada hari kejadian dan suspek telah menjelaskan tersalah jalan disebabkan masih baru,” katanya.

Tambah beliau, pemandu juga cuba membuat pusingan U di Jalan Temasya sebelum mangsa membuka pintu kereta kenderaannya.

Lelaki itu kemudiannya meneruskan perjalanan kerana ada permintaan pelanggan lain.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana kejadian ini lebih kepada salah faham.

“Pengadu juga telah membuat laporan polis untuk menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini setelah mengetahui kejadian sebenar,” katanya.

Terdahulu tular di laman sosial berhubung laporan polis mengenai kejadian tersebut termasuk nombor plat kenderaan pemandu tersebut. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI