PETALING JAYA – Satu keluarga termasuk ibu bapa seorang pelajar yang sedang berjalan dalam keadaan cuaca panas terik sambil menolak bagasi berdekatan pintu masuk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), mengundang sebak orang ramai.
Berdasarkan video yang dimuat naik di TikTok rasmi UMPSA, semalam, ibu bapa tersebut tiba dari Sarawak menggunakan pengangkutan udara seterusnya menaiki bas untuk ke UMPSA bagi mendaftarkan anak perempuan mereka sebagai pelajar baharu.
“Hebatnya kasih ayah dan ibu teman anak masuk UMPSA. Dari jauh nampak satu keluarga ini jalan kaki tengah panas. Ingatkan kereta rosak.
“Sedihnya tengok panas-panas ni jalan kaki tolak beg di saat yang lain naik kereta. Bila ditanya, katanya mereka datang dari Sarawak naik bas nak hantar anak masuk UMPSA.
“Pihak UMPSA bergegas carikan kereta untuk mereka masuk ke dalam kampus. Hebatnya kasih ayah dan ibu teman anak masuk universiti,” menurut keterangan pada video itu.
Ia kemudian mengundak sebak dalam kalangan pengguna media sosial selain ada yang memaklumkan mengenali keluarga tersebut.
“Terbaik team UMPSA permudahkan urusan orang. Insya-Allah urusan kita di kemudian hari akan dipermudahkan oleh Allah SWT,” kata Yoi – Khairul Anwar.
“Nangis tengok sebab saya tahu mak ayah saya pun akan buat benda sama,” kata Nimzzzz.
“Pernah melaluinya hantar adik ke UKM bersama ayah dan mak sampai putus tali beg ayah saya. Alhamdulillah adik dah berjaya sekarang jadi pendidik yang berjaya,” cerita Shimashim.
Dalam masa sama, seorang pengguna TikTok yang lain memaklumkan, bapa pelajar tersebut merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Merapok di Lawas Sarawak.
“Saya kenal keluarga ini, seorang guru besar di sekolah anak saya. Ibu dia seorang cikgu yang baik dan peramah dengan ibu bapa. Tahniah Guru Besar Tahir mempunyai anak yang berjaya,” komen Razalie Jalie. – KOSMO! ONLINE