fbpx

Sukan Asia: Empat gangsa bukti ujian lulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAH FIRDAUS dianggap paling menyerlah dalam skuad basikal trek negara apabila membawa pulang dua pingat gangsa dari temasya Sukan Asia Hangzhou kali ini. - AFP

SKUAD berbasikal trek negara ‘lulus ujian’ selepas menggondol empat pingat gangsa pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 dengan acara sukan itu melabuhkan tirai kelmarin.

Pada awalnya, skuad berbasikal trek negara diletakkan harapan tinggi untuk menjadi salah satu penyumbang pingat emas pada temasya berprestij edisi ke-19 kali ini.

Namun, tamparan hebat apabila sandaran utama negara, Datuk Azizulhasni Awang terpaksa menarik diri pada saat akhir ekoran mengalami kecederaan pada sesi latihan minggu lalu.

Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh pelumba lelaki negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menyumbangkan dua pingat gangsa pada saingan di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou itu.

Shah Firdaus membuktikan bahawa dirinya layak digelar pelapis ‘The Pocketrocket Man’ apabila berada di kedudukan podium untuk acara keirin dan pecut.

Selain itu, skuad negara juga meraih pingat gangsa menerusi pecut berpasukan lelaki yang diwakili Umar Hasbullah, Fadhil Zonis dan Muhammad Ridwan Shahrom.

Skuad pecut berpasukan wanita menyumbangkan pingat gangsa keempat hasil gandingan Nurul Liana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi.

Bagi Nurul Izzah, pengalaman bersaing di temasya Sukan Asia buat kali pertama dalam kariernya sesuatu yang sukar untuk dilupakan.

“Saya sangat berpuas hati apabila dapat meraih pingat gangsa buat kontinjen kebangsaan meskipun baru pertama kali bersaing dalam temasya besar seperti ini.

“Kami juga berjaya memecahkan rekod peribadi dan sudah tentu berbangga dengan peningkatan yang dipamerkan selepas melakukan kerja keras sejak tahun lalu.

“Ini adalah proses pembelajaran dan sudah tentu saya harap kita dapat mempamerkan prestasi yang lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya yang baru berusia 20 tahun.

Seperti dijangka, Jepun menguasai acara berbasikal trek kali ini selepas meraih 10 pingat emas.

Kontinjen Malaysia tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 dengan hanya mahukan 27 pingat tanpa mengira kilauan warna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI