TURIN – Juventus berkemungkinan besar turun tanpa kelibat penggempur utama, Dusan Vlahovic menjelang pertemuan menentang salah satu pencabar musim ini, Atalanta dalam aksi Serie A di Stadium Gewiss awal pagi esok.
Vlahovic, 23, tidak menyertai sesi latihan bersama skuad utama selepas diberikan kebenaran berlatih bersendirian disebabkan masalah kecederaan belakang badan.
Penyerang Serbia itu masih belum terlepas sebarang perlawanan Serie A musim ini selain berjaya meledak empat gol serta mencipta satu bantuan jaringan sepanjang enam aksi bersama The Old Lady.
Kem Juventus sememangnya mengharapkan Vlahovic sempat cergas sepenuhnya menentang Atalanta yang berada pada prestasi terbaik menerusi tiga kemenangan berturut-turut dan hanya ketinggalan satu mata di belakang mereka.
Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri mengakui, ia satu kerugian besar buat mereka jika tidak dapat menurunkan Vlahovic memandangkan prestasinya pada permulaan musim ini sangat mengagumkan.
“Saya melihat banyak peningkatan terutamanya dari segi aspek fizikal. Mungkin disebabkan itu dia lebih mudah untuk menjaringkan gol seperti dilakukannya dalam dua aksi pertama musim ini.
“Saya pernah beritahu sewaktu pramusim bahawa saya percaya Vlahovic akan meledak banyak gol musim ini. Anda bayangkan sahaja dia masih dapat 10 hingga 12 gol walaupun tidak begitu cergas musim lalu,” katanya.
Walaupun dilanda pelbagai masalah musim lalu tetapi Juventus kali ini seakan-akan kembali mencapai tahap sebenar sehingga dilabel antara pencabar kejuaraan apabila menghuni tangga ketiga Serie A ketika ini. – AGENSI