fbpx

PNB komited tingkat literasi kewangan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung mencuba permainan interaktif di MSAM 2023 di Setia Fontaines, Bertam, hari ini. Foto SITI NUR MAS ERAH AMRAN/Kosmo!

SEBERANG PERAI – Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2023 mencerminkan usaha berterusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat negara ini.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, program yang dianjurkan sejak tahun 2000 itu memenuhi kesemua empat teras komitmen meliputi pendidikan, industri kewangan, pembangunan komuniti dan ilmu pengetahuan.

Katanya, karnival literasi kewangan terbesar itu berjaya dimanfaatkan 3.9 juta rakyat tanpa mengira peringkat usia dengan purata kira-kira 150,000 pengunjung bagi setiap tahun penganjurannya.

“Selain itu, kita turut menitikberatkan soal pendidikan rakyat Malaysia dan tahun lalu sahaja, PNB telah membelanjakan RM34 juta dalam bentuk program penajaan atau biasiswa pendidikan melibatkan 1,229 pelajar di seluruh negara.

“Usaha PNB bukan sahaja untuk menyokong keperluan masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan, tetapi juga pembangunan komuniti yang dilangsungkan menerusi pelbagai program rasmi seperti Sembang-Sembang ASB, Kelab Pelaburan Bijak dan Fiesta Labur.

“Menerusi Kelab Pelaburan Bijak, kami mendekati pelajar sekolah menengah menerusi aktiviti kokurikulum di 155 buah sekolah seluruh Malaysia bagi memupuk tabiat menyimpan sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian MSAM 2023 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Tambahnya lagi, tahun ini MSAM memfokuskan elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang diterapkan dalam kandungan dan ruang pameran.

“Ia bertujuan untuk memberi inspirasi kepada semua khususnya golongan muda untuk terus menimba ilmu dan mengejar pendidikan tinggi serta menceburi bidang STEM,” katanya.

MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer, terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, bank, badan kawal selia, dan agensi kerajaan negeri.

Pengunjung MSAM 2023 yang mendaftar melalui “PNB Events App” berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai hampir RM1.4 juta.

MSAM 2023 dibuka setiap hari dari 30 September hingga 8 Oktober dari 10 pagi hingga 10 malam.

Pendaftarannya adalah percuma dan perkhidmatan pengangkutan percuma juga disediakan untuk pengunjung dari pelbagai lokasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI