BESUT – Hajat seorang ibu dari Kampung Naik di sini untuk mencari dana bagi merawat penyakit kanser saraf yang dihidapi anak perempuannya tidak kesampaian apabila kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia awal pagi kelmarin.
Tuan Nur Afina Sofea Tuan Khalid, 9, yang menderita penyakit berkenaan sejak tiga tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya di rumah mereka pada pukul 12.35 tengah malam.
Kisah kanak-kanak itu pernah disiarkan Kosmo! pada 7 September lalu selepas kehidupannya berubah daripada seorang anak ceria yang akhirnya terpaksa terlantar di atas katil.
Ibu kanak-kanak itu, Nor Adibah Ahmad, 42, berkata, masalah kesihatan Sofea tiba-tiba menjadi serius selepas anaknya mengalami sesak nafas sebelum dikejarkan ke Hospital Besut pada pukul 4 petang pada Khamis lalu.
“Tahap oksigennya kembali normal dengan pengggunaan alatan bantuan penafasan, namun pemeriksaan x-ray mendapati sel kanser sudah merebak ke bahagian hati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Nor Adibah memberitahu, anak perempuannya itu bagaimanapun enggan tinggal di wad sehingga memaksa dia dan suami memutuskan untuk membawanya pulang.
“Kami meminjam alat bantuan pernafasan wakaf dari masjid, namun tahap kesihatan Sofea semakin kritikal sebaik tiba di rumah.
“Dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik akhirnya menghembuskan nafas terakhir di sisi kami sekeluarga,” katanya.
Nor Adibah berkata, dia amat sebak kerana sebelum meninggal dunia, anaknya itu cuba menyampaikan sesuatu kepadanya, namun gagal difahami kerana butir percakapannya tidak jelas.
Bagaimanapun, katanya, dia sempat memberitahu Sofea bahawa anaknya itu adalah anak yang baik.
“Saya katakan kepadanya, saya dan suami berharap dapat bertemu semula di syurga kelak.
“Kami reda dengan pemergiannya kerana dia telah lama menderita,” katanya.
Nor Adibah berkata, jenazah anak perempuannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar di sini pada pukul 2.30 petang kelmarin.