Berperwatakan lembut bukan halangan untuk gadis Pesona Ahad minggu ini, Dina Allysha Aminudin, 22, membuktikan diri mampu menjadi pelakon yang berjaya.
Satu permintaannya adalah peluang untuk mengetengahkan bakat dalam bidang yang diminati sejak dari kecil.
Malah, bekas peserta Dewi Remaja ini sanggup meninggalkan seketika bidang peragaan ketika namanya di puncak semata-mata memberi tumpuan kepada dunia lakonan.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis kelahiran Johor ini berkongsi impian menjadi anak seni.
Kosmo! Ahad: Ceritakan sedikit mengenai diri Dina?
Dina: Bekas peserta Top 10 Dewi Remaja 2022 dengan nama pentas Dina Allysha. Dina sukakan cabaran, sentiasa mencari peluang menguji kebolehan diri.
Bagaimana terjebak dengan dunia lakonan?
Segalanya bermula selepas program Dewi Remaja dan banyak sertai uji bakat. Dina mula berlakon ketika usia 16 tahun sebelum tergendala sebentar. Drama pertama Pemburu Rahsia dan seterusnya Cinta Bersemi di Wadi Safiyyah.
Lakonan memberi peluang Dina berekspresi dengan diri dan emosi menjadi individu lain, bermain dengan pelbagai karakter selain membentuk keperibadian. Dina menaruh harapan besar menjadi pelakon yang meninggalkan legasi satu hari nanti.
Lakonan pernah dikritik?
Seperti kebanyakan individu dalam industri seni, saya juga tidak terlepas daripada kritikan dan keraguan, tetapi saya jadikan semua itu sebagai pemangkin semangat untuk terus berusaha dan perbaiki diri.
Saya harap saya dapat memberi kesan positif dalam dunia seni dan meninggalkan warisan yang membanggakan dalam industri lakonan.
Watak impian dan hero pilihan?
Dina mahu bawa watak garang, kasar dan antagonis. Karakter berlainan dengan diri yang girly.
Hero pilihan adalah Nadhir Nasar. Dia memiliki bakat besar dan berjaya membawa elemen segar kepada industri lakonan tempatan. Beliau bukti generasi baharu mempunyai potensi besar dalam industri ini.
Jika bukan model dan pelakon siapa Dina?
Seorang pensyarah. Saya sentiasa mempunyai minat untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan orang lain. Kemampuan untuk mempengaruhi perkembangan intelektual dan sosial pelajar adalah sesuatu yang saya anggap sangat berharga.
Pelajar, pelakon dan model, bagaimana bahagikan masa?
Sudah tentu penekanan sebagai pelajar. Segala perancangan diatur bersama pengurus dan dengan disiplin yang tinggi saya dapat menjalani kehidupan yang dinamik sebagai seorang pelajar yang berjaya dan pelakon yang berbakat.
Ciri-ciri lelaki idaman Dina?
Seorang yang berpelajaran, lembut dalam percakapan dan memahami. Saya impi lelaki yang kelakar dan sentiasa ceria.