fbpx

Liga Super: Kelantan United kutip tiga mata berharga lawan Penang FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Penang FC, Muhammad Al Hafiz Harun (kanan) cuba merebut bola daripada kawalan pemain Kelantan United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Tonggak pertahanan, Dominik Balic menjadi wira Kelantan United FC (Kelantan United) apabila jaringan tunggalnya membolehkan Sang Kijang Hijau melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, sebentar tadi.

Turun dengan misi mencari kemenangan, kedua-dua pasukan dilihat terlalu berhati-hati menyebabkan tiada sebarang gerakan atau percubaan berbahaya dilakukan sepanjang 20 minit pertama perlawanan.

Aksi hambar itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa membuat pertukaran awal dalam usaha memecah kebuntuan jaringan pada perlawanan tersebut.

Kelantan United terlebih dahulu melakukan rombakan apabila membawa masuk Mohamad Qayyum Marjoni Sabil pada minit ke-25 bagi menggantikan Ismaheel Akinade yang dilihat kurang efektif di jentera serangan.

Skuad pelawat kemudiannya memasukkan Mohamad Al Hafiz Harun pada minit ke-37 bagi menggantikan Abdeen Temitope Abdul selepas mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa dibawa ke hospital.

Selepas pertukaran kedua-dua pemain, tempo perlawanan dilihat meningkat, namun tiada sebarang jaringan dihasilkan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Penang FC dilihat lebih garang mengasak kubu tuan rumah, namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.

Tuah nyata menjadi milik Sang Kijau Hijau apabila Dominik Balic meledak gol pertama perlawanan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-67 selepas menerima hantaran daripada Jose Elmer Porteria.

Jaringan tunggal itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan United melakar kemenangan ketiga musim ini.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan United kekal di tangga ke-12 manakala Penang FC kekal menghuni tempat ke-10 dalam kedudukan carta Liga Super. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI