IPOH – Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah rumah flat di Menglembu, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian membabitkan lelaki berusia 65 tahun itu dimaklumkan orang awam kepada polis pada pukul 3.50 petang.
Katanya, lelaki tersebut ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kepala.
“Hasil pemeriksaan pada badan si mati telah menjumpai kad pengenalannya di dalam poket seluar bahagian kiri. Tiada kenderaan ditinggalkan si mati di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan pada badan si mati turut menjumpai kesan kelar pada tangan kanan namun tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu,” katanya, di sini hari ini
Menurut beliau, mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. – KOSMO! ONLINE