PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap Kementerian Wilayah Persekutuan dapat diwujudkan semula jika berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Tanpa menjelaskan lebih lanjut rasional untuk mewujudkan semula kementerian itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sangat berharap ia dapat direalisasikan.
“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, saya harap kementerian itu dapat diwujudkan semula,” katanya ketika ditemui selepas program Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya, di sini hari ini.
Katanya, beliau juga mengesahkan rombakan Kabinet pasti akan berlaku memandangkan satu jawatan menteri telah kosong susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
“Ia mesti ada (rombakan Kabinet) dan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas ura-ura kononnya beliau bakal dilantik semula mengemudi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ahmad Zahid berkata, beliau sanggup memikul apa sahaja jawatan. – KOSMO! ONLINE