“SAYA cuma berharap ummi dan walid dapat maafkan saya satu hari nanti,” ujar Rina (bukan nama sebenar) sambil juraian air mata turun membasahi pipinya.
Wanita berusia 25 tahun itu tidak dapat membayangkan bagaimana reaksi kedua-dua ibu bapanya nanti sekiranya mereka mengetahui tentang kewujudan anak hasil luar nikahnya.
Rina akui, jiwa mudanya terbawa-bawa dengan budaya baharu di sekelilingnya ketika menuntut pelajaran di sebuah universiti terkemuka di Baltimore, Amerika Syarikat (AS).
“Saya merupakan salah seorang pelajar Malaysia yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di universiti luar negara.
“Tapi, ummi dan walid tidak tahu bahawa saya bukan sahaja berjaya memperolehi ijazah, malah seorang anak,” katanya kepada Panorama.
Ujar Rina, anak lelakinya, Ian (bukan nama sebenar) kini sudah berusia tiga tahun.
Ian tinggal bersama keluarga bekas teman lelakinya Andrew (bukan nama sebenar) di AS.
Keputusan itu dibuat kerana Rina dan Andrew khuatir ibu bapa Rina tidak mampu menerima Ian dan akan melayannya dengan teruk.
Ibu bapa Andrew juga bimbang cucu mereka akan mengalami trauma sekiranya berlaku ‘drama’ ketika Ian diperkenalkan dalam keadaan keluarga Rina tidak merestui anak itu.
Lebih menambah kerumitan di minda Rina, Andrew dan keluarganya bukan beragama Islam.
Ini sekali gus menjadikan Ian juga tidak didaftarkan sebagai agama Islam.
“Saya perlu ambil kira tentang semua pihak kerana perkara ini bukan sahaja melibatkan dua keluarga, tetapi juga melibatkan anak saya yang tidak berdosa dan masih kecil.
“Saya tahu mungkin sukar untuk orang lain faham situasi ini.
“Namun, ini adalah jalan terbaik buat masa ini,” ujarnya.
Mengimbas kembali cerita tentang tempoh kehamilannya, Rina berkata, dia tinggal di rumah Andrew dan dijaga oleh keluarga Andrew sehingga bersalin.
Biarpun keluarga Andrew menerima baik berita kehamilannya, namun mereka sekeluarga tidak melihat perkahwinan sebagai satu keperluan.
Oleh kerana itu, Rina dan Andrew membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri dengan Rina pulang ke tanah air setelah tamat belajar.
Tambah Rina, Andrew juga sudah memiliki teman wanita baharu yang juga seorang wanita Asia.
“Bagi masyarakat di Amerika Syarikat, istilah ‘baby’s daddy’ itu sudah menjadi normal. Oleh itu, saya tidak marah kepada Andrew.
“Saya yang hanyut dengan cinta si mata biru ketika berjauhan dengan keluarga. Jadi, saya terima akibatnya,” tuturnya.
Ujar wanita yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta terkemuka tersebut, dia masih menghantar duit kepada ibu bapa Andrew pada setiap bulan sebagai nafkah Ian.
Rina juga akan pastikan dia berkesempatan untuk bertemu dengan anaknya di Amerika Syarikat sekurang-kurangnya setahun sekali.
“Pada setiap tahun, saya akan bercuti ke AS. Saya beritahu keluarga, saya ke sana atas urusan pekerjaan.
“Saya tahu saya berbohong tapi saya tidak tahu berapa lama lagi hendak menyimpan rahsia ini.
“Ada kalanya, saya sedih hanya dapat melihat Ian di depan mata setahun sekali. Tapi bila Ian dah besar sikit, saya bercadang akan bawa juga dia pulang ke Malaysia dan jumpa keluarga saya,” katanya.