fbpx

Fasiliti kesihatan awam Johor siap sedia hadapi jerebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIAN SOON (kiri) dan Raven Kumar meninjau tahap udara di kawasan Larkin mengalami jerebu dengan IPU 156 ketika dirakamkan pukul 3 petang di Johor Bahru, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Semua fasiliti kesihatan awam di negeri ini telah diminta untuk bersedia menerima kehadiran pesakit yang dijangka berlaku ekoran keadaan jerebu yang dilaporkan melanda beberapa kawasan, di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, langkah itu ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dan sederhana yang direkodkan termasuk di Larkin, di sini dan Batu Pahat.

Menurut beliau, pihaknya menjangka akan berlaku peningkatan pesakit berhubung simptom pernafasan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah ambil langkah persiapan termasuk melibatkan jabatan kecemasan. Tujuannya bagi memastikan pesakit mengalami masalah salur pernafasan menerima rawatan terbaik.

“Semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan sudah bersiap-sedia jika keadaan jerebu di negeri ini menjadi semakin buruk. Kerajaan negeri juga menasihatkan orang ramai khususnya yang mempunyai sejarah penyakit salur pernafasan agar kurangkan aktiviti luar dan sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan terjejas.

“Selain itu, mereka juga digalakkan untuk kerap minum air kosong bagi mengelakkan tekak menjadi kering sekali gus menyebabkan kegatalan atau komplikasi penyakit salur pernafasan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jerebu di Larkin, di sini hari ini.

Sementara itu, Raven Kumar pula memberitahu, tiada keperluan buat kerajaan negeri menutup operasi sekolah-sekolah di negeri ini khususnya yang berada di kawasan kualiti udara terjejas.

“Setakat ini tiada keperluan menutup sekolah. Langkah itu hanya boleh dibuat sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya iaitu 200 ke atas.

“Ketika ini Larkin masih mencatat bacaan kualiti udara tidak sihat iaitu 156 IPU manakala Batu Pahat pula 115 IPU.

“Oleh itu, kita nasihat sekolah di kawasan Larkin dan Batu Pahat untuk menangguhkan sementara semua aktiviti luar yang dijadualkan demi kesejahteraan dan kesihatan pihak terlibat,” jelasnya.

Berdasarkan maklumat laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tertinggi ialah Larkin dengan bacaan 156, diikuti Nilai (136), Bukit Rambai (134), Port Dickson (128); Kuala Lumpur (112), Seberang Jaya (107) dan Batu Pahat (104). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI