fbpx

Bawa pulang tahanan Malaysia dari Guatanamo Bay masih di peringkat awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin pada sidang akhbar Program KDN Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak hari ini.

PETALING JAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum membuat ketetapan berhubung usaha membawa pulang dua warga Malaysia yang kini ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia kerana kerajaan baru sahaja memulakan rundingan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

“Perkara ini masih di peringkat awal dan kita baru memulakan rundingan. Jadi belum ada apa-apa ketetapan.

“Sebarang perkembangan kita akan maklumkan,” katanya pada sidang akhbar Program KDN Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Selain itu, Saifuddin berkata, pihaknya juga belum memutuskan sama ada dua warga Malaysia itu akan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) setelah dibawa pulang.

“Belum sampai peringkat itu lagi. Kita baru berjumpa, mendengar, membaca profil mereka serta keadaan terkini mereka. Kita belum sampai kepada tahap dia pijak kaki di bumi Malaysia lagi. Ini baru peringkat awal,” jelasnya.

Mengulas mengenai tindakan dua warga Malaysia itu yang dianggap sebagai pengganas, Saifuddin enggan memberi komen berhubung status tersebut.

“Kena tanya siapa yang anggap mereka pengganas sebab mereka ditahan pada 2003. Sekarang tahun 2023 dan saya jadi menteri baru 10 bulan. Status mereka pengganas itu kena rujuk kepada rekod mereka lepas,” jelasnya.

Dua rakyat Malaysia itu adalah Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat disyaki terlibat dalam dua kes pengeboman, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan di Hotel JW Marriott, Jakarta pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI