fbpx

Yayasan Perak nafi henti bantuan di kawasan pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yayasan Perak - Gambar hiasan

IPOH – Yayasan Perak menafikan dakwaan kononnya akan menghentikan bantuan kepada rakyat miskin di kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Pengurus Pentadbiran Yayasan Perak, Mohamad Hidayat Abd. Halim menjelaskan dakwaan yang disebarkan di laman sosial kononnya Kerajaan Perak akan menghentikan pengagihan kotak-kotak makanan kepada rakyat miskin dan golongan memerlukan di kawasan tersebut mulai bulan hadapan adalah tidak benar.

“Sebaliknya, kami sebagai agensi bertanggungjawab menyelaraskan program berkenaan, akan terus menyalurkan bantuan itu tanpa mengira kawasan, malah telah membuat langkah penambahbaikan bagi memastikan ia memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasar,” katanya di sini hari ini.

Pada masa sama, jelasnya, yayasan itu memandang serius pelbagai aduan yang diterima termasuk perbuatan membuka kotak dan membuat pembungkusan semula (repacking), menampal kotak dengan pelekat tertera logo parti politik, mengubah kuantiti asal bungkusan makanan serta pengagihan tidak mengikuti kuota dan tempoh ditetapkan.

Malah, maklumnya, tindakan membuat pembungkusan semula atau menampal kotak dengan pelekat lain sehingga menutup label jenis-jenis makanan dan tarikh akhir penyaluran kotak makanan dikhuatiri mengakibatkan berulangnya insiden tidak diingini seperti penerima mendapat barang makanan tamat tarikh luput.

Justeru, sebagai mengambil berat isu dan aduan yang diterima, Yayasan Perak telah mengesyorkan supaya kaedah penyaluran bantuan tersebut ditambah baik.

Jelasnya, ia bagi memastikan bantuan itu benar-benar sampai kepada golongan sasar serta menjamin kuantiti dan kualiti barang makanan yang diagihkan sentiasa dalam keadaan memuaskan.

Sehubungan itu, terangnya lagi, mulai bulan depan, pengagihan kotak-kotak makanan tidak lagi disalurkan menerusi mana-mana pusat khidmat ADUN, sebaliknya akan diagihkan terus oleh Yayasan Perak dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh pihaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI