PETALING JAYA – Topi edisi terhad keluaran restoran makanan segera, KFC dengan kolaborasi kartunis terkenal, Ujang dan jenama pakaian tempatan, Pestle & Mortar Clothing yang berharga RM29.90 dijual semula pada harga yang tinggi hingga mencecah RM1,200.
Menerusi satu hantaran yang dibuat Ibrahim Ujang di Facebook miliknya, terdapat beberapa individu yang bertindak menjual semula di platform e-dagang ‘Grailed’.
“Tak sampai beberapa hari dilancarkan. Bucket hat KFCxUJANGxPMC kini ditawarkan di Platform Grailed dengan harga USD 255 (RM1,199). Korang darab lah sendiri,” tulisnya.
Tinjauan Kosmo! di platform jualan atas talian itu juga mendapati terdapat beberapa penjual yang menawarkan harga serendah RM413.80 hingga RM935.75.
Difahamkan, topi keluaran ulang tahun ke 50 KFC itu dijual pada harga RM29.90 telahpun dikeluarkan pada Julai lalu namun ia kembali ke pasaran diatas permintaan yang tinggi oleh pembeli.
Selain itu, Pin Enamel Zin Bersalut Emas 24K juga dijual pada harga RM15 dan ia menampilkan karakter daripada kartun Ujang yang sedang memakai bandana serta cermin mata gelap sambil memikul KFC Bucket.
Koleksi edisi terhad itu telah tular di media sosial baru-baru ini apabila beberapa pempengaruh tampil berkongsi koleksi yang berjaya mereka kumpulkan.
Lebih menarik, ada beberapa pengguna media sosial yang menawarkan perkhidmatan pembelian topi tersebut selain ada juga yang mahu menukar warna topi yang diperoleh mereka. – KOSMO! ONLINE