JAKARTA – Tiga murid sekolah rendah dihukum menjilat dinding dan makan kertas oleh guru besar mereka dalam kejadian di Sekolah Dasar Nusa Tenggara Timur, lapor portal berita Prohaba semalam.
Mereka kemudian mengadu kepada ibu bapa masing-masing yang membuat laporan polis.
Guru besar tersebut juga dilaporkan mengarahkan mereka menjilat kaca dan pintu sekolah sebagai hukuman kerana bermain sumpitan menggunakan penyedut minuman (straw) pada Isnin lalu sambil disaksikan oleh murid-murid lain.
Pengakuan ketiga-tiga murid itu disampaikan kepada Ketua Dewan Pimpinan Cabang Organisasi Perjuangan Rakyat (POSPERA), Yorim Fallo dalam rakaman video yang diperoleh portal berita Kompas.com.
Seorang murid itu yang dikenali sebagai JT berkata, jika dia tidak menelan kertas maka ketiga-tiga mereka tidak dibenarkan pulang dari sekolah selain dua daripada mereka turut dipukul dengan kayu dengan salah seorang menangis.
Ketua polis tempatan, Ariasandy mengesahkan menerima laporan daripada ibu bapa terbabit dan masih menyiasat kes itu. – AGENSI