PETALING JAYA – Rekod sempurna skuad hoki lelaki negara di Sukan Asia Hangzhou lebur selepas tewas 3-4 kepada Korea Selatan pada aksi keempat Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal hari ini.
Keputusan itu menyaksikan perebutan juara Kumpulan B kembali terbuka buat tiga pasukan termasuk Malaysia, Korea Selatan dan China, bagi mengelak bertemu gergasi Asia, India di peringkat separuh akhir nanti.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, A. Arul Selvaraj enggan menyalahkan mana-mana pemain terhadap kekalahan tersebut selepas tonggak berpengalaman, Muhammad Razie Abd. Rahim gagal menyudakan penalti stroke pada suku keempat.
“Ia boleh berlaku dan dia (Razie) pun sudah menjaringkan gol buat kita dalam perlawanan ini. Jadi tolong jangan katakan bahawa (kekalahan) ini kerana Razie.
“Saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pemain. Kita menang sebagai satu pasukan, kita kalah pun sebagai satu pasukan,” katanya.
Sementara itu, Razie mengakui kecewa tidak berjaya menjaringkan gol keempat buat skuad negara, namun bertekad untuk bangkit dalam aksi terakhir Kumpulan B bertemu China pada Isnin ini.
“Saya ambil tanggungjawab kerana tidak dapat jaringkan pukulan penalti terakhir itu dan atas keputusan hari ini. Saya berharap kita akan bangkit dan buat yang terbaik untuk aksi terakhir,” jelasnya.
Malaysia meraih tiga gol menerusi jaringan padang Mohamad Ashran Hamsani seawal minit kelima, pukulan sudut penalti Faizal Saari (m-30) dan penalti stroke Razie (m-44).
Sayangnya, Razie gagal menyudahkan penalti stroke kedua untuk meledak jaringan keempat Malaysia.
Disebabkan itu, skuad negara terpaksa akur tewas kepada Korea Selatan, No.13 dunia, yang meraih empat gol menerusi dua jaringan Jang Jonghyun dan masing-masing satu daripada Lee Nam Yong serta Yang Jihun. – KOSMO! ONLINE