PUTRAJAYA – Peranan pegawai dan kakitangan hal ehwal agama dan agensi, sangat instrumental dalam meratakan kefahaman Islam yang tepat serta mengangkat martabat umat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan percaya melalui kompas tujuan yang jelas bersandarkan konsep Malaysia Madani, perkhidmatan hal ehwal agama boleh memberi sumbangan yang lebih signifikan dalam membina Malaysia yang lebih baik.
“Saya sempat kongsi dan mengajak hadirin mengimbau sejarah pengungkapan istilah masyarakat Madani seawal 1998, sehingga terluncurlah gagasan Malaysia Madani sebagai sebuah agenda negara tatkala diberi amanah sebagai Perdana Menteri.
“Kesempatan yang sama, saya tekankan kepentingan nilai dan akhlak yang merupakan kelompongan besar yang harus digarap dalam pembinaan negara, tamadun dan peradaban seperti mana yang ditekankan oleh Syeikh Taha Jabir al- Alwani dan Malik Bennabi.
“Hatta hal yang sama, yakni ledakan pancaran hati nurani yang suci (habit of the heart ) turut ditekankan oleh pemikir Barat Alexis de Tocqueville sewaktu menyentuh keruntuhan moral dan nilai di Amerika Syarikat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini selepas menghadiri dialog bersama Pegawai Hal Ehwal Agama dan wakil agensi bersama dalam Siri Majlis Ilmu Madani, semalam.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Siri Majlis Ilmu Madani itu diteruskan dengan tausiah dari Mufti Wilayah, Datuk Prof Madya Dr. Luqman Abdullah dan diikuti dengan dialog saya bersama Pegawai Hal Ehwal Agama dan wakil agensi agama. – KOSMO! ONLINE