SUNGAI SIPUT – Penganjuran Perak Agrofest 2023 merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam memperkasa aspek sekuriti makanan yang menjadi salah satu daripada enam agenda utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, program dengan tema Lestari Agro Perak Makmur selama tiga hari itu adalah penjenamaan semula Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri, sebelum ini.
“Melalui program ini, satu platform strategik diwujudkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan maklumat serta pendedahan terkini dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani,” katanya berucap pada majlis perasmian program tersebut.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan merasmikan Perak Agrofest Lestari Agro Perak Makmur di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara itu, hari ini.
Menurut Saarani, kerajaan negeri sentiasa mengambil pedoman daripada titah-titah Sultan Nazrin sebelum ini yang mahu supaya aspek keterjaminan makanan sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya.
Justeru, terangnya, kerajaan negeri telah melipat gandakan usaha dan ikhtiar agar segala inisiatif bagi memperkukuh sekuriti makanan seperti digagaskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan khususnya melalui kolaborasi agensi dan jabatan berkaitan sektor pertanian untuk menjana pengeluaran hasil makanan berskala besar.
Beliau menjelaskan, bagi sektor pertanian, Nisbah Sara Diri (SSR) negeri itu tahun lalu bagi 13 jenis tanaman terpilih adalah mencukupi serta memenuhi permintaan domestik dengan nilai SSR melebihi 100 peratus membabitkan kelapa, jagung manis, belimbing, betik, jambu batu, pisang, bayam, bendi, kacang panjang, sawi, terung, timun dan ubi keledek.
Maklumnya, bagi memperkukuh jaminan sekuriti makanan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPPNP) sudah pun memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi menubuhkan Akademi Sekuriti Makanan.
Beliau menjelaskan, Akademi Sekuriti Makanan adalah salah satu penanda utama dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang akan meneroka bidang sekuriti makanan yang masih baharu dan sentiasa memerlukan inovasi serta kreativiti selain mengembangkan penyelidikan saintifik. – KOSMO! ONLINE