BEIJING – Seorang pengemis berusia 70 tahun di bandar Guangzhou tular di media sosial China susulan dakwaan bahawa dia seorang lelaki miang, lapor laman berita Thaiger semalam.
Menurut penduduk tempatan, lelaki itu mengemis di lokasi sama setiap hari.
Bagaimanapun pada Ahad lalu, seorang wanita menyedari kelakuan aneh pengemis itu ketika ramai wanita berskirt pendek berjalan melintasinya.
Selepas memerhati tingkah lakunya, dia yakin pengemis itu berniat jahat.
Pengemis itu dilihat menggunakan kamera telefonnya untuk merakam gambar gadis yang lalu lalang secara rahsia.
Dia menggunakan mod sudut lebar 0.5x, meletakkan telefon di bawah dan menghalakan lensa kamera ke arah wanita berskirt atau berseluar pendek.
Wanita itu mendedahkan perbuatan jahat pengemis tersebut dan berkongsi bukti kejadian di media sosial.
Hantaran itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Orang ramai kasihan dengan lelaki berusia 70 tahun yang terpaksa mengemis. Lebih mengejutkan apabila mengetahui tindakannya. Gadis itu sebaya cucunya. Bukankah ini gangguan seksual?” komen seorang netizen. – Agensi