AMBERJACK atau nama tempatannya, aji-aji turut dikenali dengan panggilan ‘kapal selam’ dalam kalangan pemancing.
Taburan spesies ini di Asia bermula dari laut Jepun melangkaui sehingga ke New Zealand.
Di Malaysia, terdapat dua jenis subspesis iaitu aji-aji belang hitam (Seriola nigrofasciata) dan aji-aji jalur kuning (Seriola dumerili) yang banyak ditemui di sebelah timur terutamanya di perairan Sarawak dan Sabah.
Biasanya, saiz maksimum aji-aji belang hitam hanya sekitar enam kilogram (kg), manakala aji-aji belang kuning mampu mencapai berat sehingga 90 kg. Di Malaysia, aji-aji kurang mendapat liputan dan dijadikan ikan sasaran berbanding spesies lain seperti GT, layaran, gerong belang, tuna sirip kuning mahupun talang.
Mungkin kerana aji-aji hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak jika di Malaysia. Namun, aji-aji sentiasa menghadirkan cabaran yang setanding tuna sirip kuning.
Jadi, tidak hairanlah sesetengah pemancing luar sanggup mengeluarkan belanja besar untuk memburu spesies itu sehingga ke New Zealand.
Kunjungan ke gugusan terumbu Beting Patinggi Ali di perairan Sarawak baru-baru ini, penulis dan rakan-rakan berkesempatan merasa sendiri penangan padu spesies demersal itu.
Selain jigging, teknik pancingan dasar juga popular untuk menjerat aji-aji bersaiz ‘gorgon’.
Joran dengan kekuatan PE 3-4 dan mesin kekili elektrik menjadi kemestian jika memancing teknik dasar.
Tambahan pula, untuk ke dasar kadangkala hampir mencecah sehingga 350 meter bergantung kepada perairan. Pada mulanya, aji-aji bukanlah spesies sasaran utama pada trip ini.
Kami lebih memberi tumpuan memburu spesies seperti ruby snapper, kerapu bara, ikan durian dan tuna sirip kuning. Hanya sekali kelibat tuna menyambar jig, namun terputus ketika berhampiran dengan bot, kemudian spesies tersebut hilang daripada radar.
Selama kami di Beting Patinggi Ali, ikan bersaiz mega hanya aktif pada sebelah malam terutamanya dari pukul 8 sehingga 10 malam.
Penggunaan tali utama 60lb dan perambut tanduk 100lb digantung dengan batu pemberat satu hingga 1.5 kg (bergantung kepada keadaan arus) yang dipadankan bersama mata kail 5/0 – 15/0.
Hirisan isi tongkol putih segar yang ditangkap dengan teknik jigging dan disediakan oleh Amirul (kru bot merangkap tukang masak) merupakan umpan ampuh untuk pancingan dasar.
Rata-rata saiz ikan tongkol yang ditangkap adalah seberat 1 hingga 2 kg.
Selain tongkol, sotong juga merupakan umpan yang sering digunakan di kawasan ini.
Pada hari pertama dan kedua pancingan dasar, hanya ikan ruby snapper, kerisi Bali (rusty snapper) dan ikan durian (squirrel fish) sudi ‘menjamah’ umpan dihidangkan.
Hari ketiga merupakan kemuncak bagi trip kami, apabila aji-aji pertama berjaya dinaikkan oleh tekong yang sekadar mencuba lubuk baharu.
Selang beberapa minit kemudian, giliran Mat Top dan Faizal Sado pula berselang-seli menaikkan aji-aji bersaiz sederhana dengan teknik jigging.
Penulis juga berkesempatan beradu tenaga apabila berjaya menaikkan aji-aji seberat 12.38 kg. Keong yang sememangnya menyasarkan spesies ini terlepas peluang mendaratkan aji-aji apabila joran sederhana yang digunakan gagal menahan asakan si ‘kapal selam’.
Ini membuatkan tali utamanya putus pada kedalaman 120 m. Sempat Keong berseloroh ingin ‘menghentam’ ikan tersebut kepada penulis.
Tepat pukul 12 tengah malam, bunyi loceng memecah kesunyian malam di tengah laut apabila joran pancingan dasar Syazli ‘Abah’ melentur kuat sehingga hampir mencecah permukaan laut.
Hampir 30 minit bertarung, aji-aji seberat 30 kg berjaya ditewaskan, sekali gus menjadikannya sebagai tangkapan terbesar trip kali ini, diikuti Mat Nor dengan aji-aji seberat 25 kg.
Menutup perburuan pada malam itu, Keong akhirnya berjaya menewaskan aji-aji seberat 24 kg pada pukul 2 pagi setelah kecewa di sebelah siang.
Menjelang pulang, kami berjaya mengumpulkan hasil hampir 500 kg secara keseluruhannya.