ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh dan lebih 80 lagi cedera selepas bom meletup berhampiran sebuah masjid semasa sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW di Pakistan, lapor portal berita MailOnline.
Kejadian berlaku di Daerah Mastung, wilayah Balochistan, barat daya Pakistan semalam.
Masjid itu runtuh dengan petugas-petugas penyelamat berusaha mengalihkan serpihan runtuhan bagi mengeluarkan sebilangan mangsa yang terperangkap, kata pegawai polis tempatan, Shah Raz Khan.
Menurut pentadbir tempatan, Atta Uttah, mangsa-mangsa yang cedera dihantar ke hospital terdekat dengan sebahagian mereka kritikal.
“Pengebom bunuh diri meletupkan dirinya berhampiran kenderaan Timbalan Superintendan Polis,” kata Timbalan Ketua Polis Pakistan, Munir Ahmed sambil menambah, letupan berlaku ketika orang ramai berkumpul untuk perarakan Maulidur Rasul, cuti umum di negara tersebut.
Rakaman televisyen dan klip video di media sosial menunjukkan kawasan lapang berhampiran masjid berselerakan dengan kasut milik mangsa-mangsa yang terkorban dan cedera selepas pengeboman.
Beberapa mayat ditutup dengan cadar dan sejumlah penduduk serta anggota penyelamat dilihat bergegas membawa mereka yang cedera ke hospital.
Beberapa jam kemudian, satu letupan berasingan merosakkan bumbung sebuah masjid di daerah Hangu dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa, menyebabkan dua orang terbunuh dan tujuh cedera.
Letupan kedua berlaku ketika jemaah melaksanakan solat Jumaat dan pada jarak sekitar 563 kilometer dari letupan pertama.
“Bumbung masjid itu runtuh akibat letupan,” kata Pegawai Polis Daerah Hangu, Nisar Ahmed kepada akhbar harian Pakistan, Dawn, manakala berpuluh-puluh orang dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan kedua-dua serangan tersebut. – AGENSI