fbpx

KSU, ketua jabatan perlu serius teguran Laporan Ketua Audit Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkapli (Gambar kecil)

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha dan ketua jabatan diminta mengambil perhatian serius teguran-teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), dalam usaha mengurangkan isu-isu ketirisan, pembaziran dan salah guna kuasa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed berkata, ia perlu diambil perhatian dalam usaha memartabatkan integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.

Katanya, kesemua mereka turut diminta bersiap siaga dengan sebarang teguran yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan.

“Selaku pegawai pengawal di setiap kementerian dan jabatan yang diterajui, integriti merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan.

“Kita bertanggungjawab untuk memastikan keseluruhan modal insan yang berada dalam organisasi memahami dan menghayati sifat jujur dan amanah seterusnya menterjemahkan nilai-nilai murni tersebut dalam setiap bentuk tindakan yang dilakukan.

“‘Amanah dijulang, integriti dipegang, kejujuran diserlahkan’. Kita semua tidak akan sama sekali berkompromi dengan isu integriti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini sempena Persidangan Pemerkasaan Integriti pada 27 September lalu.

Jelasnya, sebagai pegawai awam yang diberikan tanggungjawab, penjawat awam perlu berpegang pada integriti dalam usaha bersama-sama pemimpin negara memperkasakan pembangunan ekonomi sebagaimana yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi Madani.

“Hanya dengan iltizam yang kukuh untuk menjauhi rasuah dan salah guna kuasa menerusi integriti, kita dapat melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bermaruah dan disegani di persada antarabangsa,” ujarnya.

Persidangan bertema ‘Membudaya Integriti, Memperteguh Malaysia Madani’ merupakan platform untuk bertukar-tukar pandangan serta mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan aspek tata kelola dalam pelaksanaan fungsi dan tanggungjawab kementerian, jabatan dan agensi termasuk isu-isu berhubung dengan dapatan audit serta langkah penambahbaikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI