SEBERANG PERAI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) giat merancakkan pengeluaran hasil pertanian di negeri ini sekali gus mengukuhkan sekuriti makanan negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, Taman Agroteknologi Pertanian PERDA dan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (PERDA Food Valley) seluas 138 hektar itu diusahakan dengan tanaman kontan dan aktiviti penternakan.
“Sehingga Ogos tahun ini, pengeluaran hasil tanaman di sini mencecah 4,201 tan metrik bersamaan RM6,352,709 juta. Seramai 130 peserta dan syarikat ketika ini sedang menyewa tanah berkenaan pada kadae sewaan RM50 sehingga RM150 seekar.
“Saya tertarik melihat format yang dilaksanakan PERDA dan Jabatan Pertanian walaupun kaedah konvensional digunakan untuk mengusahakan tanah ini,” katanya selepas melawat Taman Agroteknologi Pertanian Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan yang dilakukan kedua-dua agensi itu wajar dikembangkan agar dapat dijadikan contoh dalam membangunkan petani tempatan.
“Saya sendiri tertarik dengan modul penggiliran tanaman dimana tanaman sayur atau buah yang berbeza diusahakan di kawasan sama mengikut urutan.
“Ini satu langkah proaktif untuk menggalakkan ladang ditadbir secara komersial dan hasil pendapatan optimum dapat diperolehi sekali gus meningkatkan pengeluaran makanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE