PETALING JAYA – Budaya yang dibawa dari barat berkait muzik keras sejak awal 70-an dikenali sebagai ‘Punk Rock’ nampaknya masih menular di negara ini.
Satu klip video tular di TikTok menunjukkan sekumpulan belia menyertai konsert ‘Punk Rock’ yang dipercayai diadakan di Felda Paloh, Gua Musang, Kelantan.
Kejadian yang berlaku beberapa hari lalu tersebut bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat setempat.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hakim berkata, penduduk Felda berkenaan bertindak membuat aduan kepada pihak berkuasa berhubungan penganjuran konsert itu.
“Bunyi bising serta kelihatan minuman keras turut dihidangkan dalam konsert tersebut. Difahamkan bukan penduduk di sini yang anjur, tetapi orang luar.
“Namun saya terkejut konsert punk boleh masuk dalam kawasan kampung malah berada di Hulu Kelantan ini,” katanya kepada Kosmo!.
Rata-rata pengguna media sosial turut terkejut penganjuran konsert berunsurkan budaya kuning dari barat itu kini menular di pedalaman Kelantan.
“Pelik, Kelantan ni memang terkenal dengan kuatnya agama Islam, tapi macam mana konsert begini boleh masuk,” kata Ier Dominic.
“Pihak berkuasa negeri kena pantau la, siapa yang beri kebenaran tu, katanya berlaku dekat sebuah dewan besar dekat DUN Paloh,” kata Wahida Bustaman.
Difahamkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Istiadat Agama Islam Kelantan (MAIK) telah pun mengambil tindakan terhadap penganjur konsert itu. – KOSMO! ONLINE