BALING – Seorang suri rumah terkedu apabila melihat semua perabot dan barangan elektrik yang dibawa dari rumah lamanya di Lumut, Perak ketika berpindah ke rumah arwah ibunya di Kampung Iboi, di sini musnah akibat banjir, Rabu lalu.
Menurut Tilka Mat Udin, 49, dia baru sahaja tiga hari berpindah ke rumah tersebut pada Ahad lalu sebelum dilanda banjir.
“Saya langsung tidak sangka rumah dimasuki air sehingga paras pinggang sedangkan kawasan ini terletak di kawasan tinggi.
“Saya rasa sedih melihat barang yang dibawa ke sini rosak dalam sekelip mata selain sayu tengok keadaan rumah ibu yang dipenuhi selut,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, di sini semalam.
Menceritakan semula kejadian, katanya, hujan lebat berlaku kira-kira pukul 3 petang sebelum bekalan elektrik terputus selepas solat maghrib.
Ujarnya, jiran kemudian memaklumkan air di kawasan pekarangan rumah sudah naik sehingga paras paha.
“Saya segera tutup pintu, namun buntu sebab tak tahu hendak lari ke mana bersama anak lelaki yang berusia 13 tahun.
“Saya kemudian pergi ke dapur dan melihat air banjir sudah menolak pintu dapur dalam keadaan terbuka menyebabkan saya dan anak berlari keluar ikut pintu belakang dan panjat tebing rumah jiran untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Bagaimanapun, ceritanya, mereka tidak boleh melintas jalan kerana air dari arah bukit turun dengan laju sebelum diselamatkan orang kampung dan dibawa ke PPS.
“Air banjir yang berselut dan berlumpur itu datang sekejap sahaja dari arah bukit di seberang jalan hadapan rumah saya, ia tidak pernah berlaku.
“Sebelum ini kalau hujan lebat, air hanya lalu di tepi-tepi jalan dan masuk ke dalam anak sungai berhampiran rumah saya, tetapi kali ini air banjir itu datang dengan banyak dan laju menghentam rumah saya,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Zubaidah Salleh, 51, berkata, dia juga tidak sempat menyelamatkan barang di dalam rumah termasuk keretanya yang pernah ditenggelami banjir kilat pada Julai tahun lalu.
“Habis semua barangan rumah, termasuk perkakas elektrik yang baharu hasil sumbangan pemimpin terdahulu rosak ditenggelami air banjir. Kereta yang baru siap dibaiki kerana rosak ketika banjir tahun lalu juga rosak, kami tak sempat menyelamatkannya.
“Ketika banjir saya tiada di rumah. Sebaik tiba di rumah saya lihat jambatan kecil sudah hanyut ditolak air deras, manakala rumah dimasuki air,” katanya.
Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Husain pula berkata, banjir kali ini meskipun tidak seteruk tahun lalu, tetapi ia memberikan kesan yang amat mendalam kepada mangsa.
“Banjir kali ini turut terkena rumah yang terletak di tempat tinggi dan jauh dari sungai.
“Kami tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku, tetapi kali ini, ia berlaku sehingga menyebabkan rumah penduduk di kawasan tinggi pun terjejas banjir,” tambahnya.
Berita berkaitan: ‘Air banjir melimpah deras masuk rumah’