JOHOR BAHRU – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan keharmonian dalam bilik persalinan merupakan antara faktor penting anak buahnya bermotivasi memberikan aksi terbaik secara konsisten sehingga berjaya muncul juara Liga Super pada musim ini.
Solari memberitahu, keharmonian ini juga menjadi titik tolak buat keseluruhan pemain skuad Harimau Selatan lebih bersemangat untuk meningkatkan kualiti permainan masing-masing seterusnya membantu pasukan melakar sejarah kelab itu mendominasi Liga Super dalam tempoh satu dekad.
Pengendali kelahiran Argentina itu puas apabila memenangi gelaran juara Liga Super buat pertama kali sejak mengambil alih tugas ketua jurulatih pada Disember lalu yang merupakan salah satu sasaran kelab untuk mempertahankan kejuaraan itu sejak 2014.
“Ini adalah hari paling bermakna buat JDT apabila muncul juara buat kali ke-10 berturut-turut. Kami bukan sahaja menakluki liga malah memberi persembahan terbaik dari hari pertama, menang 21 perlawanan dan tidak pernah kalah, jaring 86 gol dan hanya bolos tujuh kali, ini amat memberangsangkan.
“Semua ini adalah hasil usaha keras setiap pemain yang cukup profesional, mereka menunjukkan kesungguhan untuk belajar menjadi lebih baik selain mempamerkan komitmen yang tinggi setiap kali turun berlatih yang akhirnya diterjemahkan pada perlawanan sebenar.
“Kesemua pemain sentiasa memberikan 100 peratus untuk membuktikan mereka layak berada dalam pasukan, ini dapat dilihat dalam setiap perlawanan apabila mereka bermain bersungguh-sungguh membuktikan mereka adalah yang terbaik,” katanya.
JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014 selepas membenam PDRM FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam kelmarin. Bergson Da Silva, Juan Muniz, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri masing-masing meledak satu gol pada perlawanan itu.
Misi Solari bersama JDT sangat jelas untuk membantu pasukan menjadi versi yang lebih digeruni lawan dan ini terbukti apabila purata jaringan adalah hampir empat gol bagi setiap perlawanan.
Menurut Solari, berbekalkan ilmu yang ditimba bersama Liga Argentina serta pasukan bawah 23 tahun negara itu, dia cuba untuk menjadikan setiap pemain lebih baik dari setiap aspek.