KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis spekulasi bahawa pertemuan mingguannya dengan Yang di-Pertuan Agong hari ini adalah berkenaan rombakan Kabinet.
Anwar berkata, beliau menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi untuk mesyuarat pra-Kabinet.
“Tidak. Ia adalah mesyuarat pra-kabinet atau pasca-kabinet biasa. Noktah,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Postnormal Times Exhibition di KL Jazz & Art Center, di sini hari ini.
Terdahulu, terdapat ura-ura mengatakan Anwar telah pergi ke Istana Negara untuk membentangkan perubahan kepada Kabinet.
Dikatakan pengumuman tersebut akan dibuat hari ini.
Desa-desus rombakan Kabinet menjadi polemik selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong kerana kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub. – KOSMO! ONLINE