fbpx

SVT mudahkan orang ramai teroka daerah Selama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR AKMAL (kiri) bersama Mohamad Razif menunjukkan halaman sesawang SVT yang dibangunkan untuk memperkenalkan daerah Selama di Perak kepada orang ramai.

LARUT – Majlis Daerah Selama (MDS) melangkah setapak ke hadapan membangunkan teknologi realiti maya (VR) dinamakan Selama Virtual Tour (SVT) bagi memperkenalkan produk kelua­ran tempatan serta mempromosikan ekopelancongan di daerah itu.

Yang Dipertua MDS, Nor Akmal Yang Ghazali berkata, SVT merupakan satu mekanisme yang kini giat dipromosikan pihaknya bagi memperkenalkan dan mendekatkan Selama de­ngan dunia luar.

“Dengan adanya teknologi VR ini, ia akan mendekatkan Selama kepada dunia luar agar ia lebih dikenali orang ramai kerana daerah ini mempunyai pelbagai aktiviti ekopelancongan termasuk produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang dihasilkan.

“Secara tidak langsung ia akan menangkis tanggapan orang ramai bahawa Selama merupakan daerah terpencil kerana di sini juga terdapat destinasi yang perlu dilawati oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini semalam.

Menurut Nor Akmal, aplikasi yang dibangunkan itu juga masa sejajar dengan Tahun Melawat Perak 2024, bahkan ia selari de­ngan pelan Perak Sejahtera 2030.

“VR itu boleh dilawati melalui halaman sesawangnya di ­SelamaTourism.com, malah orang ramai boleh menggunakan alat peranti realiti maya iaitu Oculus Rift untuk menerokai SVT yang mempunyai 58 panorama.

“Secara keseluruhannya, jelajah secara maya secara 360 darjah itu boleh mengambil masa selama 35 jam diselesaikan kerana terdapat banyak lokasi ekopelancongan untuk diterokai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Perundangan, Penguatkuasa dan Pelancongan MDS, Mohamad Razif Ismail berkata, SVT turut menyenaraikan 49 senarai Rakan Strategik Pelancongan Majlis Daerah Selama (RSP-MDS) iaitu pemilik entiti pelancongan di dalam jelajah maya berkenaan.

“Selain daripada orang ramai boleh melayari bagi mengetahui produk pelancongan yang ada, mereka juga boleh merancang ke destinasi yang diinginkan dengan membuat perancangan lebih rapi.

“Ini kerana ekopelancongan yang ada mampu menambat hati pelancong dari dalam dan luar negara dan kini impaknya boleh dimaksimumkan menerusi SVT,” katanya.

Tambahnya, dengan adanya aplikasi seperti itu, MDS percaya daerah Selama akan lebih dikenali ramai dan impak daripada­nya akan lebih merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI