KOTA TINGGI – Seorang isteri di Taman Kemang di sini kini bergantung hidup dengan hasil berniaga sekitar RM40 sehari untuk menyara keluarga selepas suaminya tidak dapat bekerja akibat menghidap kanser paru-paru.
Nur Syafiqah Amanullah, 32, berkata, suaminya Mat Senan Mat Jim, 49, disahkan menghidap penyakit itu pada tahap empat Mac lalu.
Katanya, suami sebelum ini bekerja sebagai kontraktor rumah, namun kini tidak boleh bekerja berat selepas doktor menyarankan agar dia berehat ekoran masalah kesihatan.
“Suami kini jalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Pada awalnya doktor menyangka suami menghidap kanser payudara kerana bahagian itu membengkak ketika itu.
“Selepas membuat ujian berulang kali, barulah doktor mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru. Suami kini bergantung pada ubat morfin yang dibekalkan hospital untuk menghilangkan rasa sakit,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, hasil perkahwinan dengan suaminya, mereka dikurniakan dua anak yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU), manakala hasil perkahwinan suaminya sebelum ini juga memiliki dua orang anak.
Menurutnya, anak bongsunya Nur Zulaikha, 7, merupakan OKU terlantar. Sejak dalam kandungan, doktor memaklumkan dia ada jangkitan kuman di selaput otak, namun lahir dalam keadaan yang normal, cuma ketika usianya lima bulan kaki kanan patah dan kesihatannya merudum.
Tambahnya, dengan hasil berniaga sate dan otak-otak yang diambil dari saudaranya, dia gunakan untuk menampung perbelanjaaan keluarga termasuk rawatan ke hospital.
“Suami ada terima Baitulmal sebanyak RM400 sebulan. Saya pula hasil berniaga bersih hanya peroleh sekitar RM40 sehari.
“Bagi kos kemoterapi suami ke hospital, memang saya kena sediakan sekitar RM200 dalam akaun bank. Dalam sebulan kadang kala perlu rawatan susulan sampai empat kali.
“Anak bongsu juga sepatutnya perlu jalani rawatan terapi, namun buat masa ini saya terpaksa hentikan dan dahulukan suami kerana lebih memerlukan rawatan,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Nur Syafiqah 01-069-02-042378-5.