PETALING JAYA – Seorang wanita yang juga suri rumah mencari ‘kawan upahan’ selepas dipercayai mengalami tekanan melampau (burnout), akibat tiga tahun terperap menguruskan rumah tangga.
Katanya menerusi perkongsian yang tular di media sosial itu, kawan upahan tersebut hanya perlu datang ke rumahnya, bersembang, dan membuat kerja harian bersama-sama.
“Ada tak sesiapa di kawasan Melaka, sudi berkawan dengan saya. Datang rumah saya sembang-sembang, masak dan buat kerja rumah sama-sama, bayar pun tak apa asalkan saya ada kawan.
“Saya jadi suri rumah sepenuh masa dah tiga tahun tanpa cuti. Maksud saya memang tak ada ‘healing’, keluar dengan kawan, lepak ke, tak ada tu semua.
“Memang tiga tahun berturut-turut saya hadap kerja rumah, anak-anak, dinding, kipas,” kongsinya.
Wanita itu juga seolah-olah cemburu melihat suami yang berkesempatan untuk keluar dan melakukan hobinya, tidak seperti dirinya itu.
“Saya rindu nak ada kawan-kawan macam zaman kolej, zaman belum kahwin. Saya tak ada kawan, yang ada semua berhubung menerusi WhatsApp, Facebook dan Instagram sahaja.
“Saya bosan. Seronok tengok suami boleh keluar, buat hobi dia. Saya tak dapat tu semua, sampai tahap saya dengar anak panggil pun saya rasa penat.
“Tolong jangan salah faham, saya bukan tak bersyukur ada anak, suami ada rumah, tersangatlah bersyukur cuma perlu rehat sebentar tapi tak boleh. Saya cuma nak ada kawan,” luahnya. – KOSMO! ONLINE.