WANITA cekal dan kuat bernama Siti Roihan Hashim ini pernah melalui detik sukar dalam kehidupannya.
Paling tidak boleh dilupakannya adalah ketika tiada wang untuk menyediakan hidangan kepada anak-anak sehari sebelum menyambut Aidilfitri.
Tidak setakat itu, dia pernah mengira duit syiling untuk membeli susu anak saiz paket kecil yang hanya bertahan beberapa hari.
Seperkara lagi, kereta miliknya hampir ditarik beberapa kali selain terpaksa berpindah keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu bayar.
Disebabkan itu, dia terpaksa menumpang di rumah ibu mentua bersama empat orang anaknya.
Tidak mahu mengalah dan terus dihambat derita, dia memberanikan diri mengambil risiko menjalankan pelbagai jenis perniagaan.
“Saya pernah berniaga burger, nasi lemak, bekerja pusat mencuci dan banyak lagi.
“Pun begitu, ibarat gali lubang tutup lubang. Apa yang saya lakukan semuanya gagal dan tidak bertahan lama,” katanya memulakan bicara bersama Aura.
Jelasnya, pada Oktober 2015, semuanya berubah apabila dia mula mengenali bisnes produk kesihatan Forever Living.
Dia nekad menceburi secara serius kerana melihat peluang besar yang ditawarkan menerusi faedah komisyen tinggi dan tawaran percutian ke luar negara.
Hasil kerja kerasnya selama beberapa tahun tanpa kenal erti putus asa, dia berjaya mencapai kejayaan luar biasa dan dinaikkan pangkat sebagai pengurus dalam masa dua bulan sahaja.
Hasil usahanya, dia bersyukur kerana dapat membawa ibu dan ahli keluarganya seramai lapan orang menunaikan umrah dengan pakej eksklusif beberapa tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya dapat beri keselesaan kepada keluarga dengan membina sebuah banglo dan membeli dua buah kereta mewah.
“Paling menggembirakan, saya berjaya melangkah setapak lagi dalam bisnes apabila berjaya membuka akademi latihan yang dikenali sebagai Roihan Basaroy Academy terletak di Kuantan, Pahang.
“Saya membuka akademi ini sebagai platform latihan perniagaan jaringan pemasaran yang lengkap dengan latihan dan bimbingan.
“Akademi ini bagi persediaan mereka yang ingin memulakan perniagaan produk kesihatan dan kecantikan Forever Living secara pemasaran offline dan online,” katanya.
Siti Roihan menambah, menerusi pembukaan akademi itu, dia menyasarkan untuk membantu lebih 10,000 golongan wanita dalam kalangan suri rumah bagi mengubah kehidupan mereka, selain mengalu-alukan penglibatan kaum lelaki.
“Walaupun berdepan pandemik Covid-19 yang tiada kesudahan, namun saya yakin dapat melahirkan ramai usahawan terbimbing.
“Hal ini kerana, kami memasarkan produk kesihatan untuk meningkatkan sistem imun badan manusia.
“Sejak pandemik, kelas dalam talian masih berjalan setiap hari bagi mengekalkan momentum usahawan yang dibimbing supaya terus berniaga,” katanya yang memiliki empat kakitangan dan lebih 15 tenaga pengajar.
Ditanya mengenai rahsia kejayaan, dia percaya kepada rezeki dan tidak pernah berhenti berusaha mencapai kejayaan dalam perniagaan.
Jelasnya, sikap tidak mudah mengalah, berdisiplin serta fokus menjadi prinsip hidupnya selepas menempuh banyak pengalaman membina sebelum ini.
“Saya melalui pelbagai pengalaman pahit manis dan jatuh bangun dalam bisnes. Namun, saya tidak patah semangat kerana percaya dengan hikmah yang berlaku.
“Kini, giliran saya pula membantu mereka di luar sana yang sedang berjuang dan susah seperti saya dahulu.
“Kepada mereka yang melalui perit getir hidup macam saya, jangan mudah putus asa,” katanya.