PUTRAJAYA – Penyakit berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia dengan 18,515 kematian.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2022, Ischaemic heart diseases mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini pada 2021 iaitu 13.7 peratus selepas Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, Ischaemic heart diseases juga merupakan sebab kematian utama bagi kumpulan umur 41 hingga 59 tahun (20 peratus) dan 60 tahun ke atas (18 peratus).
“Perbelanjaan akibat penyakit jantung membebankan negara. Dianggarkan sebanyak RM3.93 bilion daripada RM9.65 bilion kos rawatan digunakan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.
“Beban kos ini dijangka terus meningkat jika tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit tersebut,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Jantung Sedunia, hari ini.
Muhammad Radzi berkata, bukti saintifik juga menunjukkan diabetes, hipertensi, berat badan berlebihan serta tahap kolesterol tinggi menyumbang kepada peningkatan penyakit kardiovaskular.
Pemakanan dan amalan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, stres dan pengambilan alkohol juga meningkatkan risiko penyakit jantung.
Kementerian Kesihatan sedang berusaha memperkukuhkan aktiviti pencegahan serta pengesanan awal faktor risiko agar intervensi dan rawatan awal dapat diberikan.
“Antara usaha dilakukan adalah memperkenalkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) bermula Julai 2022 dan menyasarkan 1.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun.
“Saringan dilaksanakan termasuk pengukuran Indeks Jisim Tubuh (BMI), pemeriksaan tekanan darah, ujian paras gula dan ujian paras kolesterol,” katanya.
Aktiviti saringan ini dilakukan di semua Klinik Kesihatan, melalui Peka B40 atau melalui program komuniti termasuk Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dan program saringan dari rumah ke rumah melalui Program Madani Afiat.
Sejak dilancarkan pada Julai 2022, Muhammad Radzi berkata, seramai 2,128,048 individu membuat saringan di mana seramai 1,111,568 individu menjalankan saringan pada tahun ini sehingga 27 September lalu.
“Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar mengambil kesempatan untuk membuat saringan bagi mengenal pasti risiko dihadapi agar masalah penyakit jantung dapat diatasi.
“Saya juga menyeru agar semua masyarakat terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil enam langkah utama termasuk mengamalkan gaya hidup sihat, berhenti merokok, melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat dan seimbang, mengekalkan berat badan ideal dan menghindari alkohol,” katanya. – KOSMO! ONLINE